Jangkitan Virus: cara untuk mengesan kehadirannya
Sumber: Google |
Jangkitan virus kepada komputer riba atau komputer personal terutamanya di tempat kerja atau pusat komputer sememangnya sinonim dalam kalangan pengguna peranti ini. Terlalu banyak 'tangan' yang mengguna atau pendrive dicucuk menjadi salah satu punca kepada jangkitan ini. Tidak kurang juga bagi yang kerap memuat turun files daripada internet seperti filem atau drama bersiri serta perisian-perisian luar turut mengundang kepada permasalahan ini.
Namun begitu, situasi seperti di atas sememangnya tidak lagi dapat dielak memandangkan dunia kini beroperasi dengan bergantung penuh kepada kemudahan IT seperti media sosial, email termasuk bahan belajar iaitu nota syarahan yang perlu dimuat turun sendiri penuntut institut pengajian tinggi dari laman sesawang rasmi universiti atau fakulti mereka.
Jangkitan virus ini boleh menyebabkan variasi kesan kepada komputer dan ianya bergantung kepada jenis virus yang menjangkiti sistem samada berbahaya atau sekadar 'gigit semut' sahaja. Jenis virus tersebut yang akan menentukan skala gangguan terhadap sistem komputer pengguna yang mana virus yang merbahaya mampu menyebabkan sebahagian komputer tidak berfungsi seperti Port USB tidak dapat dibaca dan virus kecil pula mampu melambatkan kadar operasi komputer atau bahasa mudahnya, Lagging.
Justeru untuk menentukan kehadirannya dan jenis virus yang menyerang komputer, para pengguna boleh menggunakan cara-cara ini;
1. Mengesan kewujudan virus dengan mata kasar
kaedah ini merupakan langkah paling awal yang boleh diambil sendiri oleh pengguna sebelum memilih untuk ke kedai. Pengguna perlu menggunakan instinct atau perasaan untuk meneliti kadar kelajuan operasi komputer atau kelancarannya.
Sebagai contoh, komputer semakin lambat atau berlaku perubahan terhadap sistem komputer seperti Port USB tidak berfungsi selepas memuat turun files daripada email.
Kebiasaanya, virus kecil hanya mampu melakukan perubahan kecil terhadap sistem komputer dan hanya virus merbahaya seperti Trojan sahaja yang mampu merosakkan operasi sistem komputer pada skala besar.
Sumber: Google |
Situasi ini boleh juga berpunca daripada permasalahan lain seperti Port USB komputer telahpun rosak namun faktor virus tidak boleh diketepikan sama sekali memandangkan kos untuk membuang virus jauh lebih murah berbanding membaiki Port USB komputer.
Lantas, virus harus dikira sebagai faktor utama kerosakan komputer dalam penilaian awal pengguna. Bermakna, jika berlaku sebarang kerosakan seharusnya melihat terlebih dahulu kepada bahagian 'software' atau perisian komputer sebelum mendiagnos bahagian 'hardware' seperti speaker dan skrin.
2. Kewujudan 'makhluk baru' di ruangan komputer
Tidak kurang juga penggunaan mata kasar untuk menyedari kewujudan files atau 'benda baru' di ruangan folder komputer seperti desktop atau folder documents. Kewujudan 'benda baru' ini sememangnya dapat disedari oleh pengguna jika mereka rajin untuk menyemak ruangan folder mereka.
Benda baru ini kerap hadir dalam bentuk files dan mempunyai nama yang tidak membawa sebarang maksud atau makna serta tidak melambangkan bahasa manusia. Bahasa mudahnya ia menggunakan bahasa Alien.
sebagai contoh: 1nwg2yu3g7812t76$$$#@%^%& , pelik bukan?
Juga ianya boleh muncul dengan format file shortcut dan sebagainya. Justeru, sebarang file yang kelihatan pelik di mata pengguna seharusnya diperiksa isinya menggunakan perisian Anti-Virus sebelum file itu dibuka.
Gambar: Contoh file virus di komputer Sumber: Google |
Files ini seringkali ditemui di ruangan folder downloads, documents atau folder OS (folder C yang mempunyai logo window itu). Kebiasaanya ia berada di dalam files yang pengguna memuat turun daripada internet atau yang diambil daripada pendrive berpenyakit.
contohnya; file A mempunyai Virus Trojan. diambil daripada pendrive dipindahkan ke ruangan folder Document. Virus Trojan itu berpangkalan di file A di ruangan folder Document.
3. Semak kehadiran virus melalui Task Manager
Dengan cara ini, pengguna boleh membuka Task Manager di komputer mereka untuk melihat permasalahan yang berlaku dalam perisian sistem komputer.
Taip sahaja Task Manager di ruangan carian komputer dan lihat di bahagian process. Perhatikan kolum CPU. Di kolum CPU menandakan operasi sistem komputer yang sedang berlaku. Sekiranya pengguna tidak membuka sebarang applikasi ketika itu kecuali Task Manager, namun jumlah peratusan di kolum CPU sangat tinggi, itu menandakan kewujudan virus di bahagian perisian sistem komputer.
Gambar: Contoh Task Manager di komputer yang tiada virus Sumber: Google |
p/s: Kaedah ini hanya mampu menyemak kewujudan virus kecil sahaja dan tidak dapat menyemak kehadiran virus merbahaya
4. Semak kewujudan virus dengan menggunakan Anti-Virus
Sememangnya terdapat banyak perisian Anti-Virus percuma di laman internet dan boleh dimuat turun serta diguna pakai di komputer. Namun, adat dunia "perkhidmatan yang terbaik pastinya mempunyai harganya" menyebabkan kebanyakan perisian percuma itu tidak boleh dipercayai sepenuhnya.
Terutamanya perisian Anti-Virus yang dimuat turun sekaligus dengan perisian lain. Contohnya, pengguna memuat turun perisian Gaming dan terdapat perisian Anti-Virus yang dimuat turun sekali dengannnya. Kebanyakan kes, perisian inilah yang membawa virus sebenarnya.
Justeru, adalah sangat baik jika pengguna menggunakan perisian Anti-Virus yang asli serta dipercayai. Sebagai contoh, perisian Kapersky Internet Secure. Perisian ini bukan sahaja dapat menyemak kewujudan virus berbahaya malahan mampu membuangnya tanpa mengganggu data lain di komputer.
Gambar: Contoh pek Perisian Anti-Virus Kapersky Sumber: Google |
Berbekalkan bayaran di bawah RM 100, pengguna dapat menjamin keselamatan data di dalam komputer dan mengelakkan kos yang lebih tinggi apabila menghantar komputer untuk dibaiki di kedai memandangkan kebanyakan kedai lebih gemar menaikkan hasil jualan mereka.
Comments
Post a Comment